Popular Posts

Saturday, January 29, 2011

History & info bout my suku kaum Lun Bawang di Sarawak

Info & artikal ini dipetik dari buku masyarakat Lun Bawang Sarawak yg ditulis oleh Mr. Meechang Tuie our ex-Pengetua smk Medamit Limbang...Thks a lot sir...we luv this story so much...^^ so i want to share for our info.

Masyarakat Kaum Lun Bawang

Kaum Lun Bawang yang dahulunya lebih dikenali sebagai kaum Murut, merupakan etnik peribumi yang telah menduduki kepulauan Borneo sejak berkurun-kurun lamanya. Menurut Tom Harrisson (1959) dan S. Runciman (1960), kaum ini adalah yang terawal menetap di kawasan pergunungan di pertengahan Pulau Borneo.

Masa kini, sebahagian besar kaum ini masih tinggal di Kalimantan Indonesia; 25,000 di Kalimantan, 2,000 di Sabah , lebih 300 di Brunei (Crain 1978) lebih kurang 15,000 di negeri Sarawak (Sarawak Statistic Dept. 1980). Di negeri Sarawak, mereka tinggal di bahagian Limbang, terutama sekali di Daerah Lawas. Ramai daripada mereka yang berpendidikan tinggi tinggal di Bandar-bandar seperti Kuching, Sibu dan Miri atas sebab pekerjaan. Sebilangan besar kaum mudanya pula bekerja di Negara Brunei Darussalam sebagai pekerja-pekerja asing di sana.

Walaupun kebanyakan daripada masyarakat Lun Bawang yang bermastautin di Sarawak berasal dari kawasan tinggi Kalimantan Indonesia, namun dipercayai juga bahawa ada beberapa kelompok yang telah tinggal di kawasan Hulu Trusan sejak berkurun-kurun lamanya. Kawasan yang mula-mula diduduki ialah Hulu Trusan dan Sungai Kelalan. Mengikut beberapa orang informan, yang berketurunan Labu’ Danur dan pengikut-pengikutnya Labu’ Danur merupakan ketua yang pertama menguasai Hulu Trusan, sehingga sungai berkenaan juga dikenali sebagai Sungai Labu’ atau Abpa’ Labu’. Keturunannya serta pengikut-pengikut Labu’ Danur dikenali sebagai Lun Labu’ (orang Labu’). Kira-kira enam keturunan kemudian, penguasaan Lun Labu berakhir setibanya Lun Kemaloh (orang Kemaloh) dari kawasan tinggi Kepulauan Borneo. Lun Kemaloh adalah kumpulan yang suka berperang dan mereka berasal dari kawasan sebuah sungai yang dikenali sebagai Abpa’ Kemaloh. Mereka tiba sebelum pemerintahan Brooke (Rajah James Brooke). Kedatangan Lun Kemaloh menyebabkan ramai orang Labu berpindah ke kawasan lain iaitu ke kawasan Sungai Lawas, Trusan Bawah dan ke Temburong (Brunei Darussalam).

Lebih awal daripada orang Kemaloh ialah Lun Adang, atau orang Adang. Mereka ini adalah kumpulan Lun Bawang yang berpindah ke Hulu Sungai Limbang dan menetap di Sungai Adang (anak sungai, Sungai Limbang). Ketua mereka yang terkenal ialah Bian Murud. Beliau diberi gelaran O.K.K. oleh Sultan Brunei atas sebab usaha ketua itu untuk berdamai. Serangan-serangan puak Kayan dan penyakit cacar mengakibatkan perpindahan orang Adang ke kawasan lain. Ada yang berhijrah ke Long Kerabangan (kawasan Hulu Trusan), manakala sekumpulan lagi ke kawasan rendah Sungai Limbang terutamanya Alung Beti (Lubuk Aur), Berunut dan tempat-tempat lain 1.

Kumpulan ini mendapati kawasan yang mereka jumpai itu belum diduduki oleh mana-mana kaum lain. Apabila kaum Bisaya2 tiba dan kemudiannya diikuti oleh kaum Iban3, orang Lun Bawang di Limbang terpaksalah berkongsi kawasan dengan mereka. Selain daripada berpindah ke kawasan rendah Sungai Limbang dan ke hulu Sungai Trusan, beberapa kumpulan berpindah ke Long Seridan dan Long Napir. Kumpulan-kumpulan ini dikenali sebagai orang Kelabit, walaupun mereka ini berasal dari kawasan Adang. Kawasan Sungai Tabun juga merupakan kawasan yang terawal diduduki oleh Lun Bawang dan mereka yang berasal dari Sungai Tabun masih dikenali sebagai orang Tabun. Beberapa orang dari kawasan ini berpindah ke Sungai Labid4 ataupun di persekitarannya.

1 Perkampungan lain ialah Liang Datu’, Tubai dan Sepangah.(di kwsn hulu sg. Limbang & Ng. Medamit Limbang)

2 Kahti Galis, Adat Perkahwinan Kaum Bisaya, 1990, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3 Penghulu Beluluk telah membenarkan orang-orang Iban yang datang untuk mendirikan rumah panjangnya dengan jaminan, iaitu mereka berjanji tidak akan menimbulkan masalah kepada orang Lun Bawang kelak.

4 Nama “Kelabit” berasal daripada Sungai Labid. “Ethnic Self-labelling of the Murut or Lun Bawang of Sarawak”. Langub J. 1987

Lun Pala’ pula adalah kumpulan yang menetap di Sungai Pala’ (berdekatan dengan Long Beluyu’) dan mereka berasal dari Kalimantan Indonesia. Mereka berpindah ke Sungai Pala ketika orang Kemaloh berpindah ke Ba’ Urak, di Hulu Trusan. Ketua mereka yang terkenal ialah Tadem Lawet. Beliau adalah antara pahlawan Lun Bawang yang cuba menentang Pemerintahan Brooke pada tahun 1900.

Mengikut kebiasaan, sesebuah komuniti Lun Bawang menamakan perkampungan mereka daripada sungai yang berhampiran atau daripada nama ketuanya. Misalnya, Lun Kemaloh adalah orang yang menetap berhampiran dengan Sungai Kemaloh. Lun Labu’ pula memperolehi namanya daripada nama ketuanya, iaitu Labu’ Danur. Bagi nama manusia pula, ia diambil daripada alam persekitaran, terutama sekali nama-nama haiwan dan alam semulajadi. Misalnya, nama-nama yang sering digunakan ialah Balang (harimau). Labo (tikus), Singa’ (singa), Bulan (bulan), Udan (hujan), Gituen (bintang) dan sebagainya. Ini dapat member gambaran mengenai hubungan manusia dengan alam persekitarannya. Masyarakat Lun Bawang menamakan mereka yang menetap di hulu sungai termasuk di kawasan pergunungan sebagai Lun Dayeh manakala mereka yang mendiami kawasan rendah yang berhampiran dengan laut sebagai Lun Lod. Penggolongan serupa ini bukan membawa maksud bahawa ada perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Sebenarnya, ini hanya berkenaan dengan faktor geografi iaitu perbezaan kawasan yang diduduki sahaja. Ini membolehkan seseorang itu mengetahui latar belakang mana-mana mereka yang berasal dari kawasan tertentu. Istilah Dayeh dan Lod adalah berkaitan dengan sungai. Dayeh, pada asalnya bermaksud hulu sungai manakala Lod bermaksud hilir sungai. Apabila “Lun” yang bermaka “orang” digunakan seperti “Lun Dayeh”, ia bermaksud orang yang tinggal di kawasan ulu sungai atau kawasan pergunungan.

Isu nama “Murut” telah lama dibincangkan oleh beberapa ahli sejarah atau antropologi baik dari negara-negara asing mahupun dari negara kita sendiri tetapi jawapan bagi isu tersebut masih kabur. Seperti apa yang telah dijelaskan lebih awal lagi mengenai penamaan yang biasa diamalkan oleh masyarakat Lun Bawang, sifat atau perbuatan manusia tidak digunakan untuk menamai sesuatu kumpulan. Dalam bahasa Lun Bawang, “Murut” bermaksud mengurut atau memberi mas kahwin. Kenapa istilah “Murut” timbul? Ia tentu diberikan oleh orang asing kerana orang Lun Bawang tidak pernah menerima pengidentitian itu. Adakah orang “Murud” bertukar menjadi orang “Murut”? Jika demikian, kenapa orang yang menetap di negeri Sabah yang diberi nama yang sama berlainan sama sekali? Adakah nama “Murut” diberikan oleh orang asing untuk menggolongkan semua jenis etnik yang menetap di kawasan pergunungan?

Gunung Murud, sebenarnya telah wujud dalam tradisi lisan masyarakat Lun Bawang lama sebelum kedatangan agama Kristian di Trusan. Dewa dewi yang dipanggil untuk menjaga atau memelihara tanaman mereka dipercayai tinggal di puncak gunung berkenaan. Bian Murud adalah ketua yang paling terkenal tinggal di Adang. Spencer St. John pernah ke Adang pada tahun 1886. Dari Adang, Gunung Murud memang kelihatan. Ada kemungkinan orang lain telah menamai orang yang menetap di kawasan Adang sebagai orang Murud (Lun Murud, atau Lun Bian Murud). Sekiranya benar, maka itu hanya untuk kumpulan Lun Bawang yang tinggal di Sungai Adang.

Nama “Murut” tidak dapat diterima oleh masyarakat Lun Bawang, kerana, pada asalnya, ia lari dari amalan pengidentitian yang dilakukan sejak turun-temurun lagi. Tambahan pula dalam konteks negara, nama kaum tersebut tidak lagi sesuai kerana kedua-dua kaum yang digolongkan di bawah nama kaum “Murut” yang tinggal di negeri Sabah dan Sarawak adalah jauh berbeza dari segi pertuturan dan kebudayaan. Kedua-dua kaum ini juga tidak dapat menerima nama tersebut sebagai nama identitinya kerana masing-masing mempunyai amalan tradisi dan kebudayaannya sendiri yang agak unik. Di Sabah, orang Lun Bawang dikenali sebagai “Lun Dayeh” manakala orang yang dikenali sebagai “Murut” di Sabah adalah kaum “Tagal” di negeri Sarawak. Penamaan seperti ini tentunya mengelirukan rakyat Malaysia sendiri. Oleh kerana nama “Lun Lod” dan “Lun Dayeh” adalah bagi menamai orang di kawasan tertentu sahaja, maka masyarakat Lun Bawang telah menggunakan nama yang biasa digunakan oleh mereka, iaitu “Lun Bawang” yang dapat menggabungkan maksud “Lun Lod” dan “Lun Dayeh”. Keputusan untuk menggantikan nama “Murut” kepada “Lun Bawang” telah dibuat oleh semua ketua masyarakat Lun Bawang sendiri. Sebagai penetapan rasmi, keputusan itu telah diwartakan dalam Sarawak Gazette.

Masyarakat Kelabit, dari aspek bahasa pertuturan dan tradisi adalah sama dengan masyarakat Lun Bawang. Hose (1926) menganggap Kelabit sebagai kumpulan Murut (Lun Bawang) manakala St. John merujuk mereka sebagai “the Main Muruts” atas sebab persamaan-persamaan ini. Seperti apa yang telah dijelaskan mengenai perpindahan orang Lun Bawang pada bahagian awal tadi, orang Kelabit dan orang Lun Bawang adalah dari rumpun yang sama. Akibat pengasingan yang disebabkan oleh faktor geografi, kedua-dua kumpulan tersebut telah menerapkan cirri-ciri kebudayaan yang bersesuaian, daripada kaum-kaum lain yang tinggal berhampiran dengan mereka walaupun adat resam turun-temurun masih ketara.

Suku kaum lain yang mempunyai persamaan dengan masyarakat Lun Bawang ialah Treng, Berawan dan Saban. Asal usul mereka adalah sama.

7 comments:

  1. just for sharing & info for young generation....^^

    ReplyDelete
  2. Lun maksud dalam bahasa murut sabah, orang.... Belanai dalam murut sabah tembikar... Lakau dalam murut sabah berjalan... Apa perkataan di sana pula dalam bahasa sana. Tidak sama ka?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lun maksud dalam bahasa Lun Bawang Trusan, Lawas, Sarawak adalah Orang. Tembikar pula adalah Tabu (yang kecil) dan Rubih (yang besar). Berjalan pula adalah Nalan. Lun yang kita sama. Tembikar dan Berjalan tidak sama.

      Delete
  3. Lun maksud dalam bahasa murut sabah, orang.... Belanai dalam murut sabah tembikar... Lakau dalam murut sabah berjalan... Apa perkataan di sana pula dalam bahasa sana. Tidak sama ka?

    ReplyDelete
  4. Sebenarnya, di Trusan dan Lawas, Sarawak, orang Lun Bawang tidak pernah memanggil bangsa mereka sebagai Murut. Kebiasaannya, mereka akan memanggil orang Lun Bawang sebagai Lun Tau atau Lun Bawang.

    ReplyDelete
  5. Nama Lun Dayeh dan Lun Lod/Lun Laud adalah merujuk kawasan/kampung seseorang Lun Bawang itu. Contoh Lun Dayeh ialah orang Lun Bawang yang berasal daripada kawasan Hulu Trusan seperti Bakelalan, Long Semadoh, Long Sukang dll. Manakala, Lun Lod/Lun Laud ialah orang Lun Bawang yang berasal daripada kawasan Hilir Trusan seperti Lubuk Abai, Long Litong, Ranau Baru dll.

    ReplyDelete